Kerjaya filem Maria Menado

Maria Menado bersama P. Ramlee dalam filem Penghidupan

Selepas gambar-gambar Maria muncul di surat khabar dan majalah sebagai peragawati fesyen, kerjayanya sebagai pelakon filem bermula pada tahun 1951. Shaw Brothers menawarkan Maria peranan sebagai seniwati utama di samping P. Ramlee dalam filem "Penghidupan".

Bagaimanapun, adalah peranannya sebagai puntianak dalam filem "Pontianak" yang memberikan Maria kemasyhuran pada tahun 1957. "Pontianak" ialah filem seram Melayu yang pertama. Skrip untuk filem ini merupakan hasil kerjasama dengan bekas suaminya, A. Razak Sheikh Mohamed. Maria membekalkan cerita-cerita puntianak yang pernah didengarnya sewaktu di Indonesia dan mereka menjalinkan plot filem itu bersama-sama.

Perubahannya daripada seorang wanita yang jelita menjadi seorang yang bongkok dan kemudian sebagai puntianak menelan masa berjam-jam untuk hiasan. Maria juga diperlu bersandar tanpa bergerak supaya penggambaran perubahan itu dapat dibuat sedikit demi sedikit. Berbeza dengan masa sekarang, tiadanya grafik komputer pada waktu itu untuk membuat pembetulan, dan kesemuanya perlu dibuat secara manual. Bagaimanapun, filem itu mencapai tahap yang cukup realistik sebagaimana yang dapat diperlihatkan daripada laporan tentang beberapa orang yang pengsan selepas menonton babak-babak yang mengejutkan. Tayangannya di pawagam Cathay berlangsung selama 12 hari. Ini adalah suatu pencapaian yang utama, khususnya kerana filem Melayu tidak pernah ditayangkan di pawagam Cathay. Maria kemudian melakon dalam dua susulan yang berikut iaitu Dendam Pontianak (1957) dan Sumpah Pontianak (1958).

Sewaktu di puncak kemasyhuran , beliau diberi peranan sebagai watak jahat di samping Shammi Kaopor dalam filem Hindi yang bertajuk "Singapore". Filem tersebut menjalani penggambaran di Singapura dan Mumbai. Dalam jangka masa 12 tahun, Maria berlakon lebih 20 filem termasuk filem terbitan produksinya sendiri, Maria Menado Production (M. M Production) melalui filem Siti Zubaidah pada 1961. Beliau merupakan penerbit filem wanita Melayu yang pertama.

Maria sendiri memegang watak utama sebagai Siti Zubaidah. Penglibatannya sebagai produser bukan sahaja membanggakan malah beliau telah memainkan peranan sebagai penerbit dan pelakon sekali gus yang jarang-jarang dapat dilakukan oleh seorang penerbit.

Tiga filem lain yang diterbitkan oleh syarikatnya ialah Darahku, Bunga Tanjung dan Pontianak Kembali.